Kemahiran Mendengar
Kemahiran mendengar merupakan satu kemahiran yang paling asas dan penting dalam sesi kaunseling. Dalam hal ini, kaunselor perlu lebih banyak meluangkan masanya mendengar daripada menyampuk percakapan klien. Untuk benar-benar memahami apa yang telah diperkatakan oleh klien, kaunselor perlu memberikan tumpuan dan pemerhatian yang sepenuhnya untuk mendengar semua percakapan klien tersebut.
Selain dari tutur kata, gerak geri klien semasa bercakap juga patut dilihat dan didengar sama. Dikatakan bahawa segala tingkah laku klien itu turut memainkan peranan yang penting dalam menyampaikan makna sesuatu pengucapannya itu.
Gerak geri bukan lisan seseorang dikatakan dapat menggambarkan perasaannya yang sebenar. Ini termasuklah perasaan hatinya, pemikiran mental dan fizikalnya. Ia dapat menunjukkan sama ada klien berada dalam keadaan yang selesa ataupun sebaliknya.
Mendengar merupakan kemahiran yang paling penting dalam proses kaunseling. Pemahaman yang tepat hanya akan diperolehi dengan adanya pendengaran yang baik. Di dalam konteks kaunseling, terdapat beberapa perkara yang perlu di dengar iaitu isi kandungan yang diperkatakan, perasaan yang dilahirkan melalui tingkah laku tanpa lisan dan juga mendengar perasaan yang dinyatakan.
Oleh itu dikatakan proses mendengar melibatkan seluruh deria yang terdapat pada diri kaunselor. Telinga digunakan untuk mendengar apa yang diperkatakan, mata untuk melihat bagaimana gerak laku semasa perkataan atau ayat dituturkan, hidung juga turut menghidu bau-bau yang ada di sekeliling dan kadang kala deria sentuhan sebagai bersalaman dan sebagainya.
Kaunselor boleh menunjukkan kemahiran mendengarnya dengan beberapa cara seperti berikut ;
1. Menyatakan semula
Kaunselor menyebut semula apa yang telah dikatakan oleh kliennya dengan tepat
2. Menggambarkan semula
Kaunselor akan memfokus pada isi kandungan serta perasaan klien. Akan tetapi, kaunselor perlulah menggunakan perkataannya sendiri supaya menunjukkan kaunselor benar-benar faham dan mendengar percakapan klien tadi.
3. Memberikan respons
Kemahiran menggalakkan klien bercakap
Kaunselor menggalakkan klien bercakap dengan menggunakan soalan-soalan jenis terbuka. Semasa klien bercakap, kaunselor perlu mendengar dengan penuh teliti dan penuh empati. Sementara itu, semasa klien bercakap, kaunselor harus mendengar dan memberi perhatian, memberi respons yang minima seperti mengganggukkan kepala dan sebagainya untuk menggalakkan terus bercakap.
Kemahiran membalas (responding)
Membalas kata-kata merupakan suatu kelebihan kepada manusia. Dengan membalas kata-kata, manusia dapat mewujudkan hubungan yang baik antara satu dengan lain. Tujuan utama seseorang bertindak balas ke atas kata-kata orang lain adalah untuk menggalakkan penglibatan masing-masing di dalam perbualan itu. Secara umumnya kemahiran membalas terdiri daripada sub kemahiran iaitu kemahiran penstrukturan, dorongan minima dan kemahiran mendengar.
Contoh satu
Klien :Macam-macam yang saya rasa…adakah saya akan
difahami, diterima, dianggap kawan… Macam-macamlah…”
Kaunselor : “Macam-macam difikirkan sebelum datang ini.”
Contoh dua
Klien : “Saya nak bincang masalah keluarga saya…”
Kaunselor : “Hmmm… silakan”
Klien :”Saya tidak tahu apa yang berlaku dalam
hidup saya.”
Kaunselor : (angguk).
Kemahiran penstrukturan
Penstrukturan merupakan satu kemahiran yang sangat penting di dalam sesuatu sesi kaunseling. Ini adalah kerana sekiranya penstrukturan dilakukan dengan baik dalam sesuatu sesi kaunseling itu, ia akan dapat membina hubungan yang mesra dengan klien. Proses penstrukturan boleh dilakukan sama ada dalam bentuk formal atau tidak formal.
Contoh penstrukturan 1
“…Dalam sesi ini, saya sebagai seorang kaunselor dan anda pula sebagai klien. Sesi ini akan mengambil masa lebih kurang 45 minit. Peranan saya secara ringkasnya untuk mendengar, memahami dan cuba untuk membantu anda. Peranan anda adalah untuk menceritakan apa yang mengganggu hidup anda. Sesi ini akan dirahsiakan dan kerahsiaan ini terbatas sekiranya isu yang dibincangkan melibatkan keselamatan nyawa anda.”
Contoh penstrukturan 2
Ks : “Mungkin ia akan membantu jika saya memberitahu tentang
perkara asas dalam kaunseling”
Kl : “Baiklah”
Ks : “Tujuan kaunseling adalah untuk membantu dan membimbing andadalam membincangkan bersama persoalan anda. Tugas sayasebagai seorang kaunselor adalah untuk mendengar dan memahami apa yang anda rasa dan fikirkan. Kemudian kita akan bersama-sama mencari langkah-langkah bagi persoalan anda”.
Kl : “Baiklah. Tapi apa pula yang perlu saya lakukan, Encik”
Ks : “Tugas anda adalah membantu saya untuk memahami apa
yang anda rasa dan fikirkan. Anda perlu memberi maklumat, membuat keputusan yang sesuai dan memberitahu saya perkara-perkara yang perlu untuk mencapai objektif anda”.
Kl : “Susah untuk menangani masalah saya ni Encik”
Ks : “Itulah menjadi pokok utama di sini. Kita akan cuba bersama-
sama memfokuskan pada sasaran atau objektif kaunseling ini.Pada waktu ini kita hanya sebahagian kecil daripada permasalahan anda, dan kita akan bersama-sama menanganinya dari yang ringan kepada yang lebih berat”.
Kl : “Oh begitu..Jadi, maksud encik kita cuma bincangkan satu
persoalan sahaja dalam satu masa ?”
Ks : “Tepat sekali. Satu lagi, saya mahu anda tahu bahawa kaunselingadalah secara sukarela. Anda boleh menamatkan sesi pada bila-bila masa. Sesi ini adalah peribadi dan sulit. Saya tidak akan memberitahu kepada sesiapa masalah anda kecuali dengan izin anda. Sesi kita akan mengambil masa lebih kurang 45 minit. Selalunya, ia akan memerlukan beberapa sesi, bergantung kepada keperluan anda. Sekarang, anda ada apa-apa soalan?”
Ks : “Tidak ada. Saya jelas dengan penjelasan yang telah encik berikan”.
-Contoh Penstrukturan 3
Ks : “Aqel, jika tak keberatan, boleh tak saya rekodkan sesi ini? Ini
untuk tugasan saya. Saya akan buat transkrip, dan pensyarah saya akan baca. Okey, kalau Aqel tidak selesa, saya akan berhentikan rekod ini bila-bila masa. Saya akan tunjukkan apa yang telah saya tulis jika Aqel mahu. Jika, selepas ni, Aqel tak benarkan saya gunakan rekod ini, saya tidak akan gunakan, dan kita akan mulakan sesi ini sekali lagi”.
Kl : “Baiklah, saya ada sesuatu nak bincangkan dengan encik”.
Ks : “Apa yang Aqel nak bincangkan hari ini ?”
Kl : “Kawan saya. Dia sangat teruk”.
Kemahiran Menyoal
Soalan merupakan kaedah yang paling banyak digunakan dalam sesebuah sesi kaunseling. Ini adalah kerana ia merupakan cara yang paling mudah untuk mendapatkan sesuatu maklumat. Biasanya, soalan akan ditanya oleh kaunselor dan dijawab oleh klien.
Jenis-jenis soalan
Terdapat beberapa jenis soalan. Antaranya ialah soalan yang menggunakan perkataan “boleh”, “apa”, “bagaimana” dan ”kenapa”. Soalan-soalan ini mempunyai tujuan masing-masing. Contohnya soalan yang menggunakan ‘boleh” cenderung lebih terbuka dan kurang kawalan ke atas klien. Soalan “apa” membawa klien bercakap tentang fakta dan spesifik tentang situasi.
Soalan “bagaimana” pula membawa klien bercakap tentang proses dan urutan atau emosi. Soalan “kenapa” memulakan temubual, membuka era baru dalam perbincangan. Soalan ini juga membantu klien dalam penerokaan diri dan membantu klien mencari sebab yang mempengaruhi tingkah laku, pemikiran dan emosinya.
selain itu, kemahiran menyoal terbahagi kepada 2 iaitu soalan terbuka dan soalan tertutup,
SOALAN TERTUTUP
Soalan tertutup ini ialah soalan yang menghadkan kepada satu atau beberapa perkataan sahaja dan jawapan ini dapat memberikan maklumat yang khusus. Contohnya “adakah anda datang bekerja semalam?. Dan siapakah yang pergi bersama awak ke Langkawi? Soalan tertutup adalah soalan yang khas yang cukup sekadar dijawab dengan gerak balas yang ringkas, tepat dan padat. Ia lebih spesifik dan memerlukan jawapan yang mempunyai satu atau dua perkataan sahaja, seperti ‘ya’ atau ‘tidak’. Contoh soalan tertutup ialah “Kamu akan datang esok”? Soalan ini berguna kerana mengambil masa yang singkat sekali untuk mendapatkan jawapan yang tepat dan padat.
Soalan tertutup digunakan untuk tujuan seperti menggalakkan sesi kaunseling daripada terkeluar dari topik perbincangan, memenuhi jurang maklumat yang spesifik dan mengurangkan percakapan klien yang banyak.
SOALAN TERBUKA
Soalan jenis ini bertujuan menjemput perbincangan, penjelasan dan huraian yang panjang lebar. Ia tidak memerlukan jawapan yang khusus. Soalan terbuka ini dapat menimbulkan rasa selesa pada diri klien dan rasa diterima. Matlamat bertanyakan soalan terbuka adalah untuk menggalakkan penerokaan dan pengembangan kepada perkara yang sedang dirundingkan.
Selain itu, soalan terbuka dapat memberi ruang kepada klien meluahkan perasaannya mengikut arah yang dipilihnya sendiri dan dikhususkan oleh kaunselor. Oleh itu klien lebih dapat mengawal perundingan. Soalan terbuka juga membolehkan klien memberi maklumat tanpa menimbulkan rasa defensif dan membolehkan klien mengeluarkan pendapat sendiri.
Soalan terbuka seterusnya memberi peluang kepada klien memberikan penjelasan tentang sesuatu perkara mengikut pandangannya sendiri tanpa dinilai terlebih dahulu. Contoh-contoh soalan terbuka adalah seperti “bagaimanakah kejadian itu boleh berlaku?” Atau “sejauh manakah kejadian itu mengganggu hidup anda?”
Soalan terbuka akan memberi peluang kepada klien untuk menerokai dan membincangkan segala yang dialami dan dirasainya. Ia turut menggalakkan klien untuk bercakap dengan lebih banyak ataupun memberikan penjelasan yang lebih jelas. Lazimnya, soalan terbuka menggunakan kata soal seperti “siapa”, “apa”, “di mana” dan “bagaimana”. Contoh soalan terbuka ialah seperti “Apa pendapat kamu tentang adik kamu?”
Soalan jenis ini membolehkan klien untuk bebas bercerita atau menerangkannya. Terlalu banyak mengaju soalan terbuka akan mengganggu pendengaran kaunselor. Soalan terbuka boleh diselang-seli dengan respons lain yang dapat menggalakkan klien berbincang.
Oleh itu, adalah penting untuk kaunselor mengetahui bila dan bagaimana untuk menggunakan kedua-dua soalan terbuka dan tertutup dalam sesi kaunselingnya. Kaunselor perlu menyedari, kesan dan implikasi daripada soalannya terhadap kliennya. Gabungan dua jenis soalan ini dapat digunakan mengikut kesukaan dan keperluan kaunselor bergantung kepada jenis maklumat yang diperlukan.
Soalan terbuka digunakan untuk tujuan di permulaan sesi kaunseling, untuk mendapatkan maklumat lebih jelas dan menggalakkan klien yang pendiam untuk bercakap
Walau bagaimanapun kaunselor perlu memastikan bahawa tidak terlalu banyak soalan ditanya pada satu masa. Ini adalah kerana klien akan keliru dan tidak tahu soalan mana yang hendak dijawab terlebih dahulu.
Contoh soalan yang berfokus kepada perasaan dan reaksi fisikal
-Bila anda mula rasai perasaan ini?
-Ceritakan dengan lebih lanjut lagi mengenai perasaan anda
-Apa perasaan anda sekarang?
Contoh soalan yang berfokus kepada pemikiran
-Apakah fikiran anda sebelum/semasa/selepas situasi ini?
-Apakah yang anda rasakan sebelum apa yang anda rasakan sekarang?.
-Berapa kerapkah anda berfikir begini?
-Apakah kekuatan dan potensi anda dalam perkara ini?.
Contoh soalan yang berfokus kepada komunikasi/aksi
- Bagaimana anda bertingkah laku?
- Apa yang anda katakana?
- Apa yang berlaku sebelum ini?
- Apakah kesan-kesan di atas tindakan anda itu?
Kemahiran Parafrasa
Kemahiran memparafrasa ini ialah respons kaunselor setelah mendengar isi dan memerhati tingkah laku klien. Pemahaman kaunselor ini dinyatakan dalam bentuk ayat yang agak pendek tetapi tepat dan padat maksudnya. Parafrasa ialah respons kaunselor setelah mendengar isi dan memerhatikan tingkah laku klien. Matlamat utama ialah memudahkan penerokaan ke atas klien.
Selain itu parasfrasa juga digunakan untuk membuat refleksi kepada apa yang dikatakan oleh klien. Tujuan utama parafrasa digunakan oleh kaunselor adalah untuk menunjukkan kepada klien bahawa mesej yang diberikan mula difahami oleh kaunselor. Ia juga bagi memastikan yang kaunselor mendapat mesej yang betul dari klien serta memberi peluang kepada klien mendengar kembali apa yang dirasa dan dikatakannya.
Contoh Satu
Klien : “Saya tahu dia seorang yang baik. tapi…saya belum bersediauntuk menerimanya…tetapi saya juga susah hendak menolaknya.”
Kaunselor : “ Nampaknya, anda dalam dilema, belum bersedia
menerima dia tapi juga susah hendak menolaknya.”
Contoh dua
Klien :“Dah lama saya menunggu keputusan darinya… selama tiga belas tahun, satu respons pun tidak ada.”
Kaunselor : “Selama 13 tahun, anda menunggu respons darinya
tapi satu respons pun tidak ada.”
Kemahiran Berkomunikasi
Kemahiran berkomunikasi merupakan satu kemahiran yang sangat penting bagi seorang kaunselor. Kaunselor perlu mengelakkan daripada menggunakan perkataan-perkataan yang sukar difahami oleh klien. Kaunselor patut menggunakan ayat-ayat yang biasa dan bukannya dari buku-buku akademik.
-Mesej lisan: Mesej yang dihantar melalui perkataan
-Mesej vokal: Mesej yang dihantar melalui suara. Contohnya melalui volum, artikulasi dan nada.
-Mesej badan: Mesej yang dihantar melalui bahasa badan. Contohnya melalui renungan, kontak mata, ekspresi muka, postur badan, pakaian.
-Mesej sentuhan
-Mesej yang berbentuk aksi.
Kemahiran melakukan dorongan minima
Dorongan minima diperlukan untuk memberikan sokongan dan dorongan kepada klien untuk meneruskan perbincangan. Dorongan minima merupakan respons atau ungkapan ringkas ataupun pergerakan positif yang menggalakkan klien terus bercakap dan memberikan penjelasan. Di antara contoh dorongan minima adalah seperti “hm…m,teruskan, “lepas itu”, “kemudian”, “jadi”, “terangkan lagi”, “oh….”, sentuhan, angguk kepala, kerutan di dahi, senyuman, ya dan lain-lain lagi.
Kemahiran Membuat Refleksi Perasaan
Jones (2004) mendapati kemahiran membuat refleksi perasaan melibatkan keupayaan kaunselor berkomunikasi dan mengalami perasaan klien
Refleksi perasaan merupakan pengulangan atau menyebut semula percakapan klien dalam satu rangkai kata yang pendek tetapi padat.Pengulangan yang dibuat oleh kaunselor lazimnya, hanyalah sebagai pembayang yang mencerminkan perasaan atau keseluruhan isi yang disampaikan oleh klien tadi. Membuat refleksi perasaan bukanlah sekadar mengulang semula perkataan yang diluahkan oleh klien, tetapi merupakan satu cara untuk membuat kesimpulan tingkah laku tingkah laku klien yang dapat membayangkan isi, pemikiran, perasaan dan tindakannya sendiri.
Kaunselor akan cuba untuk memahami apa yang di alami atau dirasai oleh klien secara emosi. Dengan itu, klien akan tahu bahawa perasaan dan tanggapan yang akan diluahkan oleh klien, tetapi merupakan satu cara untuk membuat kesimpulan tingkah laku klien yang dapat membayangkan isi, pemikiran, perasaan dan tindakannya sekali.
Kaunselor akan cuba untuk memahami apa yang dialami atau dirasai oleh klien secara emosi. Jadi, klien akan lebih terdorong untuk menyatakan segala perasaannya dengan lebih mendalam lagi kepada kaunselor tersebut tanpa was-was lagi.
Walau bagaimanapun, kaunselor bukan sahaja perlu cuba untuk memahami perasaan klien yang telah dinyatakan atau disebutkan dalam mesejnya, tetapi perlu cuba untuk memerhatikan perasaan yang tidak dinyatakan atau disebut oleh klien. Sebagai contohnya, mungkin klien itu kelihatan muram dan tidak bermaya tetapi klien tersebut tidak menyatakan perasaannya dalam bentuk lisan, Jadi, kaunselor perlu bijak dan merefleksikan perasaan klien itu, tidak kira sama ada perasaan itu dinyatakan atau tidak.
Tujuan utama kaunselor membuat refleksi perasaan ini ialah untuk memberikan pemusatan kepada perasaan klien sebenar dan bukannya perasaan helah semata-mata. Selain itu, ia juga membolehkan klien untuk melihat kembali perkara-perkara yang telah dikatakan olehnya tadi dengan lebih jelas dan terang daripada yang asal. Walau bagaimanapun, kemahiran membuat refleksi perasaan ini bergantung rapat kepada kebolehan klien untuk menentukan perasaan dan tanda bagi perasaannya (Amir Awang, 1987).
Kemahiran refleksi merupakan satu usaha memahami klien dari sudut pandangan klien itu sendiri. Dalam kemahiran ini pula dibahagikan kepada tiga bahagian penting iaitu refleksi isi, refleksi perasaan dan refleksi pengalaman.
Refleksi isi
Refleksi isi ialah pernyataan semula oleh kaunselor mengenai idea yang disampaikan oleh klien. Idea ini dinyatakan semula oleh kaunselor dengan menggunakan perkataan yang ringkas, padat dan tepat. Refleksi isi yang tepat membolehkan klien berasa bahawa beliau didengari dengan betul dan difahami. Akan tetapi terdapat perhatian yang harus diketahui oleh kaunselor tersebut. Contohnya jangan membuat refleksi isi yang terlalu panjang dan jangan menggunakan perkataan yang sama berulang-ulang kali.
Refleksi perasaan
Kemahiran merefleksi perasaan ialah penyataan semula oleh kaunselor tentang perasaan dan sikap yang dinyatakan oleh klien. Tujuan kaunselor melakukan refleksi perasaan adalah untuk memberi tumpuan kepada klien mengenai perasaan atau sikap yang sedang dialami oleh klien. Selain itu, ia juga meningkatkan segala tanda-tanda perasaan yang ada pada diri klien dan akhir sekali memberi ruang untuk klien mengeluarkan perasaan dengan cara yang baik dan memberi kelegaan kepadanya.
Refleksi pengalaman.
Refleksi pengalaman dibuat setelah kaunselor memerhatikan gerak-geri tubuh badan semasa sesuatu pengalaman diperkatakan oleh klien. Oleh itu kemahiran refleksi bukan sahaja diperlukan bagi perkara-perkara yang didengar dengan mulut tetapi apa yang dilihat seperti cara duduk, gerak geri, nada suara, pernafasan, wajah dan sebagainya yang ditunjukkan oleh klien semasa sesi kaunseling dijalankan.
-Contoh satu
Klien : “Baru-baru ini, saya ada pesan Astro kat rumah…” ramailah jiran-jiran yang datang tengok…. Tetapi masalahnya, mereka kata saya nak tunjuk lagak. .Berlagaklah tu… sombonglah tu.”
Kaunselor: “Anda dituduh berlagak dan sombong dengan Astro baru oleh jiran-jiran.”
-Contoh dua
Klien :“Sejak peristiwa tersebut, saya rasa disisihkan oleh adik saya. Dia buat saya macam orang luar. Langsung dia tidak peduli kat saya…tegur pun tidak. Saya rasa sedih sangat.”
Kaunselor: “Anda merasa sedih sangat bila adik anda menyisihkan anda dan tidak mempedulikan anda.”
-Contoh ketiga
Klien: “Saya ni lain sikit, saya tak boleh dicabar. Saya tak suka orangmengutuk peribadi saya..”
Kaunselor: “Tuan benar-benar marah bila ada orang campur tangan dalam hal peribadi tuan.”
Kemahiran Membuat Interpretasi
Kemahiran membuat interpretasi merupakan satu proses yang digunakan oleh kaunselor untuk memberikan maklum balas atau “feedback” kepada klien supaya klien berupaya untuk melihat masalahnya dari satu sudut berbeza. Selain itu, interpretasi digunakan untuk merujuk dan membuat tafsiran untuk maksud tersirat dalam mesej klien.
Oleh yang demikian, kaunselor perlu betul-betul menguasai kemahiran ini terlebih dahulu sebelum digunakan supaya ianya dapat dilakukan dengan lebih tepat dan betul. Ini adalah kerana sekiranya kaunselor membuat interpretasi yang salah, ia boleh menyebabkan gangguan dalam proses kaunseling yang sedang berjalan itu. Interpretasi akan dikatakan berjaya sekiranya ia boleh meransang pemahaman dan memberi fokus ke atas masalah klien.
Kemahiran ini merupakan satu proses yang aktif di mana kaunselor menjelaskan perkara atau isu yang di bawa oleh klien mengikut fahaman kaunselor dan dari perspektif yang baru. Kemahiran ini bererti memberi penghuraian kepada klien supaya klien dapat melihat peristiwa yang berlaku dari perspektif yang berlainan.
Dalam kemahiran membuat interpretasi ini, kaunselor akan menambah kenyataan yang dibuat oleh klien, terutamanya setelah kaunselor dapat memahami perkara yang tersembunyi atau perasaan yang tersembunyi yang mana klien sendiri mungkin tidak menyedarinya secara sengaja atau tidak sengaja.
Apabila klien memberikan maklumat kepada kaunselor mengenai masalah klien, tafsiran daripada kaunselor boleh menimbulkan celik akalklien. Semasa kaunselor membuat interpretasi, kaunselor haruslah menggunakan bahasa yang mudah difahami.
Tujuan kaunselor membuat interpretasi adalah untuk membantu klien mentafsir peristiwa hidup mereka. Selain itu, ia membantu klien melihat perkara yang tidak dapat dilihatnya dengan mudah, tersorok atau tidak disedarinya.
Kemahiran Membuat Klarifikasi
Kemahiran ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat atau penjelasan yang lebih lanjut daripada klien apabila klien menggunakan perkataan atau ayat yang tidak jelas, tidak spesifik, umum ataupun kabur ketika menyatakan permasalahannya itu. Membuat klarifikasi juga adalah satu penjelasan terhadap perkara yang samar kepada satu fokus yang lebih tepat.
Jadi, dengan menggunakan kemahiran klarifikasi ini, klien perlu menerangkan tajuk yang diceritakannya itu dengan lebih lanjut atau dengan lebih mendalam. Ini bukan sahaja membolehkan kaunselor memahami mesej klien dengan lebih mendalam, malah ia membolehkan klien itu sendiri lebih memahami kekeliruan yang timbul.
Kemahiran Meneroka
Dalam sesi kaunseling, kemahiran meneroka merupakan salah satu lagi kemahiran yang penting bagi menjayakan sesi kaunseling. Ini adalah kerana tanpa penerokaan, sesi kaunseling tidak akan berjalan dengan lancar. Kaunselor tidak akan dapat memahami masalah yang dihadapi oleh klien dengan lebih lanjut lagi ataupun dengan lebih mendalam.
Oleh yang demikian, seorang kaunselor perlu memastikan bahawa dirinya telah menguasai kemahiran ini bagi menjayakan sesuatu sesi kaunseling itu. Kaunselor boleh meneroka dengan lebih lanjut dengan menggunakan soalan-soalan tertentu, di mana klien perlu menjelaskan dengan lebih teliti masalah yang dihadapinya itu.
Kemahiran Pemfokusan
Dengan adanya kemahiran memfokus, kaunselor boleh mengarahkan aliran perbualan klien kepada bidang yang diingininya. Selain itu, kemahiran ini sangat berguna sekiranya kaunselor mempunyai klien yang menceritakan masalah dengan tidak jelas atau klien yang tidak berfokus dalam penceritaannya. Tujuan kemahiran ini digunakan ialah untuk memastikan klien tidak akan bercerita sehingga terkeluar daripada topik perbualan.
Oleh yang demikian, kaunselor perlu pandai memilih tajuk apa yang perlu difokuskan. Selain itu, kaunselor juga perlu membantu klien memberi fokus kepada perasaan tersembunyi semasa dalam sesi kaunseling itu. Sekiranya kaunselor tidak mempunyai kemahiran memfokus ini, maka kedua-dua klien dan kaunselor akan keliru dan tidak jelas mengenai persoalan klien.
Biasanya kemahiran ini dilakukan apabila kaunselor memilih satu perkataan atau ayat pendek daripada percakapan klien dan memberi penekanan kepada perkataan tersebut.
Kaedah pemfokusan dengan satu perkataan adalah efektif untuk membantu klien bercakap. Kemahiran ini boleh juga dalam bentuk dorongan minima. Tujuan utama membuat pemfokusan adalah untuk mengurangkan kekeliruan klien atau sesuatu yang klien kurang jelas.
Kemahiran mencabar
Kemahiran mencabar adalah untuk memperakui dengan jujur, secara langsung dan menarik perhatian klien apa yang sedang berlaku dan apa yang sedang dirumuskan. Konstruk kemahiran mencabar melibatkan seperti mengenal pasti perasaan diri sendiri sebagai kaunselor, menjelaskan dan berkongsi pengalaman dan memberi maklumbalas dan pandangan.
Kemahiran Menghadapi Kesenyapan
Kaunselor perlu bijak dalam mengendalikan kesenyapan semasa sesi kaunseling berjalan. Kaunselor perlu tahu masa yang sesuai untuk sama ada menggalakkan klien terus bercakap atau terus mengekalkan kesenyapan itu. Kesenyapan ini merupakan satu petanda yang baik kerana ia memberikan masa kepada kaunselor dan klien untuk memikirkan tindakan apa yang seharusnya diambil seterusnya.
Selain itu, ia juga memberikan peluang kepada klien yang tidak sempat menghabiskan hujahnya tadi berfikir kembali dengan tenang mengenai hujahnya itu atau mengingat kembali sesuatu yang barangkali dia terlanjur mengatakannya atau mahu mengubah fikirannya.
Kesenyapan yang berlaku banyak memberikan peluang kepada klien dan kaunselor untuk mengimbas kembali diri masing-masing semasa sesi kaunseling tersebut. Ia juga memberi peluang kepada kaunselor untuk mendengar apa yang dikatakan oleh klien dengan lebih berkesan, dapat memerhatikan gerak geri klien dengan lebih teliti, menilai hubungan pemikiran, perasaan dan tindakan kliennya dengan lebih baik serta lain-lain lagi.
Walaupun begitu, kaunselor haruslah mengelakkan kesenyapan yang terlalu panjang kerana ia akan menghentikan terus pokok cerita yang diperbincangkan tadi. Secara ringkasnya, adalah penting bagi kaunselor untuk membenarkan keadaan senyap ini setelah klien dan kaunselor telah melakukan perkara penting. Klien perlu diberi masa untuk memikirkan sesuatu tanpa sebarang gangguan.
Kemahiran Konfrontasi
Kemahiran ini hanya dilaksanakan setelah terbentuk hubungan yang baik antara klien dengan kaunselor. Semasa kemahiran konfrontasi dijalankan, kaunselor harus menggunakan nada yang lembut yang mengandungi unsur-unsur ambil berat agar mesej yang disampaikan tidaktersalah tafsir oleh klien.
Tujuan kaunselor mengadakan kemahiran konfrantasi adalah untuk memberikan klien satu pandangan lain dalam usaha meneliti diri dan membantu mengurangkan blind sport dalam membantu klien melihat dirinya dengan lebih tepat.
Contoh satu
“Tadi anda kata anda ingin berjaya, tetapi nampaknya anda langsung tiada persediaan untuk berjaya”.
Contoh dua
“Tadi saya dengar anda rasa kecewa dengan pensyarah itu, tapi dalam masa yang sama , anda rasa takut berhadapan dengan pensyarah itu untuk mengetahui isu yang sebenar”.
Contoh tiga
“Saya nampak wajah anda gembira walaupun menceritakan perkara
yang agak sedih. Agaknya ada perkara yang tak kena ke?”’
RUMUSAN
Secara umumnya, untuk menjadi seorang kaunselor yang berjaya adalah tidak mudah kerana ia memerlukan kemahiran-kemahiran yang tertentu. Kaunselor harus memahami segala kemahiran yang dipelajari dan tahu mengaplikasikan ke atas klien pada tempat, masa dan keadaan yang sesuai.
Sekiranya kemahiran yang diaplikasikan tidak sesuai digunakan maka ia mempengaruhi seluruh proses kaunseling sepeti menyukarkan klien menyelesaikan masalah mereka akibat kehilangan keyakinan dan kepercayaan terhadap kaunselor.
Selain mempunyai kemahiran-kemahiran yang baik, seorang kaunselor yang berjaya juga harus mempunyai personaliti yang baik. Ini kerana perhubungan kaunseling tidak dapat dipisahkan daripada ciri-ciri personaliti kaunselor.
Contoh-contoh personaliti kaunselor yang baik ialah seperti mesra, jujur, menerima tanpa syarat dan berempati. Sifat mesra dan jujur kaunselor akan dirasakan oleh klien apabila berinteraksi dengan klien.
Kaunselor juga harus berpandangan terbuka atau mengelakkan diri daripada pandangan yang negatif atau serong terhadap klien. Kaunselor juga harus berkebolehan memasuki ruang rujuk atau dunia klien dan membenarkan dirinya mengalami proses mental dan emosi yang dialami oleh klien sambil memahami dan menghayati permasalahan klien.
No comments:
Post a Comment